Langkah Besar Seorang Wanita

Meninggalkan kerjaya bukan keputusan yang mudah. Terutama bagi wanita yang pernah berdiri megah di pejabat, mengejar dateline, mengendalikan mesyuarat, dan mencipta kejayaan kecil setiap hari. Namun, ada satu saat dalam hidup — bila suara tangisan kecil dan tangan mungil memanggil, seluruh dunia seakan berubah arah.

Saya adalah salah seorang daripada mereka. Wanita berkerjaya yang memutuskan untuk berhenti kerja demi membesarkan anak-anak. Bukan kerana saya tidak sayangkan kerjaya, tapi kerana saya lebih sayangkan momen yang tak akan kembali.

Keputusan Yang Paling Sukar... Tapi Paling Tepat

Ramai yang mempersoalkan apabila saya meluahkan keputusan ini. Tapi di hati saya, anak-anak saya lebih besar nilainya. Ramai yang anggap saya "sayang bakat", "rugi", malah ada yang kata saya akan menyesal. Tapi tak ramai yang nampak betapa besar cabaran dan keberanian yang diperlukan untuk melepaskan segalanya demi keluarga.

Perasaan Seorang Ibu – Yang Ramai Tak Nampak

Bila berada di rumah, bukan semua hari indah. Ada hari saya letih. Ada hari saya rindu “diri saya yang dulu” — momen keluar rumah menghadapi kesesakan jalanraya, suasana suka duka di pejabat, berehat bersama officemate, Dan sebagainya.

Tapi, apabila saat saya memandang senyuman pada raut wajah anak saya, semua rasa itu cair. Mental saya bukan lemah, cuma perlukan ruang untuk terima fasa hidup yang baru.

Penjagaan Mental Itu Penting

Menjadi suri rumah bukan bererti kita berhenti jadi wanita berdaya. Ramai ibu yang mula menulis, berniaga dari rumah, buat content online, belajar kemahiran baru — semuanya sambil menjaga anak.

Apa yang penting ialah kita jangan biarkan diri hilang dalam dunia tugasan suri rumah. Jangan abaikan mental & emosi sendiri. Kalau letih, rehat. Kalau sedih, cerita. Kita juga perlukan sokongan.

Dari Karier ke Keluarga – Bukan Mundur, Tapi Beralih Arah

Berhenti kerja bukan satu kegagalan. Ia cuma pilihan yang berbeza. Pilihan yang tak semua berani ambil. Bagi saya, ia adalah satu bentuk kejayaan — bila saya boleh beri masa, tenaga, dan kasih saya sepenuhnya untuk anak-anak.

Dan kini, saya tidak lagi lihat diri saya sebagai “hanya suri rumah”. Saya adalah guru pertama anak saya, pengurus rumah tangga, penulis bebas, dan wanita yang kuat.

Hormatlah Semua Pilihan Wanita

Sama ada kita bekerja atau di rumah, semua wanita berjuang. Hormatilah pilihan masing-masing, kerana kita semua sedang lakukan yang terbaik dalam versi hidup kita.

Hadir dengan kasih, (S.F.E)

Seorang ibu, penulis dan wanita yang terus belajar mencintai setiap fasa kehidupan.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku, Wanita dan Ibu

Bebas, Tapi Tenang: Suara Seorang Wanita