Tenang Dalam Hektik: Sehari Bersama Ibu Bekerja dari Rumah

 

“Kepenatan itu nyata, tapi ketenangan itu pilihan. Dan aku memilih untuk tetap tenang.”

Pagi ini seperti biasa, aku bangun lebih awal dari anak-anak. Dalam kesunyian sekejap sebelum rumah kembali riuh, aku sempat hirup secawan kopi dan menarik nafas panjang. Inilah detik yang aku hargai – ruang kecil untuk diri sendiri sebelum hari bermula.

Sebagai seorang ibu yang bekerja dari rumah, rutin harian bukanlah sesuatu yang ringan. Sambil mengurus kerja online dan suntingan video untuk klien, aku juga mengemas rumah yang tak pernah benar-benar kemas. Anak-anak riang berlari, kadang bergaduh, kadang memeluk. Dapur pula menanti dengan agenda seterusnya – memasak untuk perut kecil yang cepat lapar.

Kerja, Anak & Dapur: Semuanya di Satu Ruang

Bekerja dari rumah memberi fleksibiliti, tapi juga memerlukan disiplin yang tinggi. Kadangkala aku menbuat suntingan kerja dengan satu tangan, dan tangan yang lain memeluk anak yang mahu bermanja. E-mel masuk waktu aku sedang menumis lauk. Dan setiap kali aku hampir selesai menyapu, akan ada serpihan biskut magis muncul di ruang tamu.

Tapi di sebalik semua itu, aku belajar sesuatu yang penting – untuk menerima ketidaksempurnaan dengan hati yang tenang.

Ketenangan Itu Datang Bila Kita Tidak Lagi Mengejar Sempurna

Dulu aku pernah cuba jadi 'supermom' – rumah berkilat, kerja siap awal, anak terurus rapi. Tapi akhirnya aku letih dan kecewa. Kini aku tahu, tak mengapa jika rumah sedikit bersepah. Tak mengapa kalau makan tengah hari lewat sedikit. Yang penting, aku masih hadir – untuk anak-anak, untuk kerja, dan untuk diri sendiri.

Setiap hari, aku pilih untuk mencipta suasana yang damai walau sibuk. Dengan muzik latar yang lembut, melihat permandangan di luar dan senyuman anak yang ikhlas – hatiku tetap tenang. Walaupun tugasan tidak pernah habis, aku tetap bersyukur.

Akhir Hari, Aku Peluk Diri Sendiri

Malam menjelma, anak-anak mula lena. Aku duduk sejenak, melayan perasaan dan pemikiran yang mana harus aku utamakan. Mata sedikit layu, tapi hati tetap hangat.

Aku bukan sempurna. Tapi aku mencuba sedaya upaya.

Kerana inilah pilihan hidupku – untuk bekerja dari rumah, menjaga anak, membina kerjaya kecil dalam ruang sendiri, dan menjalani hari yang mungkin hectic... tapi tetap penuh kasih dan ketenangan.


🌸 Nota Hati:

Buat ibu-ibu lain di luar sana yang juga bertarung dalam diam – kamu kuat, kamu cukup, dan kamu berhak untuk rasa bangga. Teruskan perlahan, tapi jangan pernah berhenti.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Langkah Besar Seorang Wanita

Aku, Wanita dan Ibu

Bebas, Tapi Tenang: Suara Seorang Wanita